Pelajari sejarah, Hayati keMERDEKAan....

Monday, August 30, 2010 - Posted by K.A.A at 5:12 AM
'Usah biarkan pisang berbuah dua kali' kerana sejarah itu umpama roda yang sentiasa berputar dan akan berulang. Peribahasa dan perumpamaan ini jelas menunjukkan betapa pentingnya bagi setiap individu yang berstatus rakyat Malaysia agar mempelajari dan menghayati sejarah negara. Hal ini demikian kerana, rakyat seharusnya peka akan perubahan semasa agar sejarah pahit yang pernah dilalui tidak akan berulang lagi. Oleh itu , pentingnya bagi kita mempelajari sejarah dalam konteks yang sebenar di samping menghayati erti kemerdekaan yang kita kecapi selama ini.
Udara kebebasan yang kita hirup pada hari ini membolehkan kita hidup dengan aman dan damai di bumi bertuah ini. Namun, harus kita ketahui bukan mudah untuk mengecapi udara kemerdekaan yang kita nikmati pada hari ini. Seharusnya kita mempelajari sejarah dengan sebaiknya dan melihat sendiri bagaimana payahnya perjuangan nenek moyang kita terdahulu dalam mengecapi sebuah kemerdekaan. Kemerdekaan yang kita kecapi tanpa pertumpahan darah merupakan keunikan yang harus dihargai akan bagaimana bijaknya pemimpin negara kita mencapai kemerdekaan.
Namun dalam kesahihan sejarah negara, terdapat persoalan yang menarik untuk diperbincangkan bagi memastikan sejarah negara yang telah lama tertulis adalah sahih. Dalam rencana ini, saya mengajak kalian agar memikirkan adakah negara kita dijajah Inggeris?. Sekiranya kita mengkaji sejarah kembali, kedatangan Inggeris ke Tanah Melayu adalah atas dasar jemputan Sultan negeri-negeri melayu bagi membantu mengatasi permasalahan di negeri masing-masing seperti untuk megiktiraf kedudukan mereka di negeri masing-masing. Seperti juga di Sarawak, keturunan Raja Putih Brooke bertapak di Sarawak adalah sebenarnya atas jemputan pembesar bagi mengatasi kebangkitan penduduk di beberapa kawasan. Oleh itu, kedantangan Inggeris ke Tanah Melayu bukanlah atas dasar kolonisasi mahupun penjajahan. Namun sebagai pulangan, mereka telah dilantik sebagai residen yang membolehkan mereka mencampuri dasar pemerintahan Tanah Melayu. Akhirnya, mereka telah mengukuhkan kedudukan mereka di negeri-negeri melayu. Hal ini menjelaskan bahawa negara kita hanya di kolonisasi oleh Jepun dan pemberontakan Bintang Tiga@Komunis selama kekosongan pemerintah dalam tempoh 14 hari berkenaan. Kemudian kita dibebaskan dari belenggu cengkaman itu dengan bantuan Inggeris. Dari segi tekanan yang dirasai oleh penduduk pada waktu itu dalam era penjajahan ialah sewaktu dibawah pemerintahan Jepun dan Komunis. Rakyat menentang Inggeris kerana campur tangan mereka dalam pemerintahan dan adat istiadat melayu. Justeru, penjajah lebih dilihat kepada Jepun dan Komunis. Manakala inggeris lebih kepada dasar campur tangan, bukan penjajahan.
Dengan mempelajari sejarah, kita akan lebih menghayati erti sebuah kemerdekaan. Kemerdekaan bukanlah setakat kebebasan negara dari dibelenggu oleh sebarang bentuk penjajahan. Bahkan kebebasan rakyat bersuara, keamanan hidup di bumi sendiri dan sebagainya. Kemerdekaan yang dikecapi bukan sahaja harus dilihat melalui kejayaan Bapa Kemerdekaan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan angkatan rombongan kemerdekaan ke England mendapatkan persetujuan dari Ratu England agar negara dibebaskan. Namun harus juga melihat kepada zaman Pra-kemerdekaan yang banyak diperjuangkan oleh Dato Onn Jaafar. Cetusan idea perpaduan beliau yang mendapat tentangan hebat pada peringkat awal sebenarnya adalah kunci utama kepada kemerdekaan yang dikecapi. Biarpun usahanya dalam Independent Malaysia Party (IMP) dilihat kurang berjaya, sebenarnya idea inilah yang membentuk rumpun bangsa ke arah kemerdekaan. Oleh itu, seharusnya beliau digelar Bapa Peneraju Kemerdekaaan. Hal ini jelas membuktikan, betapa pentingnya seharusnya kita mengkaji sejarah negara.
Oleh itu, penghayatan sejarah yang mendalam akan melahirkan individu yang menghargai kemerdekaan. Namun, mentaliti masyarakat pada hari ini yang menganggap mempelajari sejarah adalah membosankan dan tidak penting telah menghancurkan masyarakat kita sendiri pada hari ini. Situasi pada hari ini jelas menunjukkan kita merdeka pada zahirnya, tetapi tidak pada mentaliti dan pemikiran. Pemikiran serta budaya kita pada hari ini dipengaruhi trend barat yang kian meracuni generasi muda. Hal ini sebanarnya adalah penjajahan kecil yang berselindung di sebalik nama penagaruh media massa. Sekiranya kita tidak prihatin akan isu ini, tidak mustahil sejarah lampau akan berulang lagi. Hal ini mencakupi cara kita berpakaian, cara kita bertutur bahasa, cara kita berfikir dan sebagainya. Sekiranya dibiarkan, nescaya gejala ini akan terus bernanah dalam masyarkat. Justeru, generasi penyambung warisan yang akan mewarisi tampuk kepimpinan kian lesap. Akhirnya, sekiranya kepimpinan negara goyah mahupun dipimpin oleh generasi rosak ini, nescaya maruah negara akan dirobek sekali lagi.
Justeru, matapelajaran sejarah harus diperkenalkan sejak di bangku sekolah rendah lagi. Di samping itu, matapelajaran ini harus dijadikan matapelajaran wajib cemerlang. Sukatan pelajaran mengenai peristiwa di ambang negara dijajah sehinggalah negara mengecapi kemerdekaan harus diperluaskan dan ditekankan kepada generasi hari ini bagi melahirkan generasi yang benar-benar merdeka. Bukan itu sahaja, sejarah juga harus disampaikan kepada generasi muda dalam bentuk yang mudah diterima oleh mereka. Hal ini sangat jelas menunjukkan betapa pentingnya mempelajari serta menghayati sejarah negara bagi melahirkan generasi merdeka yang berkualiti.
"sejarah dipelajari, kemerdekaan dihayati"
Sekian. Terima Kasih.

*Hasil tulisan dan idea rencana hanyalah buah fikiran serta pandangan penulis. Tidak berkaitan dengan sebarang isu sensitif mahupun berbangkit.